iklan2

Khamis, 4 Jun 2009

Tip jimat elektrik di kediaman anda...

Salam… boleh dikatakan setiap rumah kediaman di negara kita ini ada menggunakan tenaga elektrik, kecuali rumah-rumah yang penghuninya terlalu miskin yang tidak mampu untuk membayar bil elektrik, ataupun rumah-rumah yang jauh di pedalaman yang terlalu sukar untuk membawa masuk ‘generator’ di kawasan tersebut. Apapun, elektrik memang sinonim dengan kehidupan seharian manusia moden pada hari ini. Tenaga elektrik yang digunakan di tempat kediaman seperti pada lampu, kipas, untuk memasak, (ketuhar gelombang, cerek elektrik, periuk elektrik dll) membasuh (mesin basuh), menyamankan udara, peti sejuk dan juga membersihkan kediaman (vakum pembersih) dan bermacam macam lagi. Oleh itu, pemahaman dan keperluan kediaman yang menjimatkan tenaga elektrik adalah aspek penting yang perlu diketahui oleh setiap pemilik kediaman atau rumah.
Antara perkara utama yang perlu dilakukan oleh pemilik kediaman untuk menjimatkan penggunaan tenaga elektrik secara menyeluruh adalah dengan memastikan perkara berikut dilaksanakan:

A) Penggunaan cahaya dalam rumah

Gunakan lampu atau mentol yang menjimatkan tenaga elektrik sehingga 80 peratus.
Gunakan kadar pencahayaan lampu yang betul seperti ketika membaca, gunakan lampu yang terang manakala ketika menonton televisyen, gunakanlah lampu yang malap (dimmer).
Pada bahagian beranda atau koridor, gunakanlah kadar lampu yang malap kerana ruang ini sekadar untuk menerangi sahaja dan biasanya ia dipasang pada jangka masa yang lama.
Tutup semua lampu dan peralatan elektrik apabila tidak digunakan termasuk pada palam elektrik (plug).

B) Penggunaan Peralatan Dalam Rumah.

ALAT HAWA DINGIN (AIR CONDITIONER) - Sebelum memasang alat hawa dingin di tempat kediaman anda, pilih kapasiti yang sesuai mengikut keluasan dan keperluan ruang. Sebagai contoh, ruang bilik tidur yang berkeluasan 3 x 4 meter adalah memadai menggunakan penghawa dingin berkapasiti 1 hp (kuasa kuda).
Laraskan pada suhu antara 22 darjah celcius hingga 24 darjah celcius. Elakkan melaras pada suhu yang sangat rendah kerana ini akan memaksa kompresor pada alat hawa dingin itu bekerja dengan lebih dan ini akan menyebabkan elektrik lebih banyak digunakan.


Pastikan pintu bilik sentiasa di tutup supaya udara sejuk tidak akan keluar daripada ruang yang ingin disejukkan kerana apabila ruang itu cukup sejuk, kompresor akan beherti secara automatic untuk seketika.
Paling penting unit hawa dingin ini hendaklah selalu diselenggara. Sekurang-kurangnya bersihkan penapis udara yang cepat kotor dan berhabuk. Rujuk pada juruteknik yang mahir untuk melakukan senggaraan berjadual. Ini akan mengekalkan tahap kesejukan dan jangka hayat unit terutamanya kompresor.

PETI SEJUK - Sebelum membeli peti sejuk, pilihlah yang besesuaian dengan penggunaannya. Jangan terpengaruh dengan rupa peti sejuk yang besar dan berkapasiti besar tanpa mempertimbangkan penggunaannya. Ini kerana semakin besar peti sejuk, semakin kuat kapasiti elektrik yang diguna pakai.
Jangan masukkan makanan atau minuman yang masih panas atau suam ke dalam peti sejuk. Biarkan dahulu makanan tersebut sejuk sendiri sebelum dimasukkan ke dalam peti sejuk.
Elakkan kerap membuka pintu peti sejuk anda kerana udara dingin akan keluar yang menyebabkan kompresor akan bekerja lebih untuk mendinginkan ruang dalam peti sejuk.



MESIN BASUH - Pilih dan gunakan mesin basuh yang sesuai dengan kapasitinya. Mesin basuh yang digunakan melebihi kapasitinya akan mengakibatkan mesin terpaksa bekerja keras dan lebih cepat rosak.
Pastikan jumlah kapasiti pakaian yang dimasukkan adalah penuh kerana jika dimasukkan separuh kapasiti, jumlah tenaga yang digunakan tetap sama. Jelas membazirkan tenaga elektrik.
Gunakan fungsi pengering mesin basuh apabila perlu sahaja. Adalah lebih baik menggunakan sinar matahari untuk mengeringkan pakaian anda.

Tiada ulasan :